Pahang Club
JKR 1, Jalan Club, Kuala Lipis


Bangunan ini banyak mempunyai nilai sejarahnya. Ia adalah bangunan terawal yang dibina oleh British iaitu pada tahun 1907. Tapak bangunan ini merupakan tapak pertama di mana pihak Inggeris mula-mula mentadbir Pahang. Rumah ini dibina untuk tujuan kediaman Sir Hugh Clifford yang pada ketika itu memegang jawatan ‘Suprintendent' Ulu Pahang yang menetap di Kuala Lipis.
Pada Jun 1898, Kuala Lipis telah menggantikan Pekan sebagai ibu negeri Pahang. Bermula pada tarikh ini rumah ini telah dijadikan kediaman resmi untuk Residen British. Ketika itu Residen British ialah Sir Hugh Clifford dan beliau telah memikirkan untuk membina sebuah kediaman yang lebih sesuai untuk memudahkan beliau mengawal kawasan Lipis. Oleh itu beliau telah menemui tapak yang lebih sesuai iaitu Bukit Residen. Sementara menunggu rumah di Bukit Residen siap, beliau menetap di Rumah Kelab Pahang itu sehingga tahun 1922.
Apabila Residen berpindah ke Rumah Residensi pada tahun 1922, rumah kelab ini telah didiami oleh Inspektor Polis British hingga tahun 1926. Inspektor Polis ini mengetui Keanggotaan Polis British di mana ahli-ahlinya terdiri daripada orang-orang Sibu, Dayak dan Melayu serta kesemua anggota polis tersebut berjumlah 100 orang.
Pada pertengahan tahun 1926, rumah kelab ini telah ditinggalkan dan kemudiannya Kerajaan Inggeris telah menjadikan rumah ini sebagai kelab Khas untuk pegawai-pegawai tinggi British sahaja. Rumah yang asalnya kediaman Residen ini sedikitpun tidak dilakukan pengubahsuaian terutamanya ruang dalamannya. Ini bertujuan untuk menjaga keaslian seni binanya. Semasa ia menjadi Kelab Pahang, rumah ini memang di kawal rapi. Menurut Pak Razak, seorang tukang kebun, bukan orang sembarangan yang boleh naik. Pakaian mestilah berkemeja kemas, bertali leher dan melambangkan status pada ketika itu. Bak kata Pak Razak lagi, kasut orang yang naik itu sekilat lantai kelab ini yang digilap setiap hari. Semasa rumah ini ditinggalkan dahulu, ia pernah diura-urakan untuk dijadikan istana. Tetapi perkara ini didiamkan kerana cadangan tersebut ditolak oleh pihak istana.
Tahun 1957, keahlian kelab ini hanya untuk orang-orang kenamaan, orang British dan Pegawai Tinggi Kerajaan sahaja. Kemudian apabila Malaya merdeka, keahliannya dibuka untuk orang-orang tempatan yang berduit dan tidak mengira kaum. Secara umumnya, aktiviti kelab ini ialah untuk kemudahan rekreasi, aktiviti sukan seperti tenis, badminton dan sepak takraw. Selain itu, ia juga menjalankan aktiviti kemasyarakatan.